TAMADUN ISLAM : TEMA 6 – KEMUNCULAN MAZHAB
Huraikan sejarah kemunculan mazhab-mazhab dalam Islam serta nyatakan faktor-faktor yang membawa kepada kemunculan mazhab-mazhab tersebut.
Pendahuluan
a. Rasulullah s.a.w. telah berjaya menyatukan umat Islam menerusi semangat persaudaraan Islam.
b. Kemunculan pelbagai mazhab pula berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Ali B. Abu Talib.
c. Walaupun berbeza pemikiran, tetapi dari segi akidah pelbagai mazhab masih memperlihatkan persamaan.
d. Kesan positif kelahiran mazhab ialah timbulnya pelbagai idea dan intepretasi baru tentang isu-isu agama yang membolehkan umat Islam beramal dengan mudah dengan wujudnya ruang-ruang yang lebih luas menerusi ijtihad para ulamak.
e. Kesan negatifnya ialah apabila penganut mazhab terlalu taksub sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam.
Isi-isi Jawapan
A) Sejarah Kemunculan mazhab-mazhab dalam Islam (3 markah x 5 isi = 15 markah)
1. Aliran Khawarij
a. Mereka juga digelar sebagai al-Hururiyah, al-Muhakkimah dan al-Shirat. Aliran ini lahir pada 37H iaitu berikutan peristiwa Majlis Tahkim yang dibentuk untuk menyelesaikan Perang Siffin.
b. Pendokong aliran ini asalnya ialah pengikut Khalifah Ali yang kemudian bertindak beramai-ramai keluar dari menyokong Khalifah Ali berikutan tindakan Khalifah Ali menerima cadangan damai yang dianjurkan oleh pihak Muawiyah bin Abu Sufian sebagai langkah untuk menamatkan Perang Siffin. Mereka juga telah mengkafirkan Khalifah Ali. Pada 38H puak ini telah bertempur dengan tentera Khalifah Ali di Nahrawan.
c. Keanggotaannya terdiri daripada pelbagai suku kaum Arab Badwi.
d. Pegangan aliran ini dari segi politik ialah menyokong kepimpinan Khalifah Abu Bakar, Umar dan pada peringkat awal pemerintahan Khalifah Usman. Namun mereka tidak bersetuju dengan penerusan pemerintahan dari kalangan Quraisy sebaliknya menganjurkan supaya perlantikan Khalifah dilakukan secara bebas dan tidak terhad kepada kaum Quraisy.
e. Dari segi akidah mereka berpendapat iman bukan hanya merupakan pengakuan lisan dan hati tetapi mesti disertai dengan amal ibadat.
2. Aliran Syiah
a. Perkataan Syiah berasal dari bahasa Arab bermaksud ‘puak’ atau ‘sekumpulan manusia dari satu puak.
b. Aliran ini lahir berikutan kemunculan puak khawarij pada 37H. Aliran ini mendokong cita-cita ke arah pendewaan ke atas keluarga Ali Bin Abu Talib yang berketurunan Rasulullah s.a.w. atau Ahl al-Bait.
c. Pada peringkat awalnya aliran ini berbau politik dan mereka bercita-cita untuk mengekalkan status-quo mereka di Iraq. Justeru itu pada peringkat awalnya tidak ada seorang pun pemimpin mereka dari kalangan keluarga Saidina Ali. Disebabkan pusat gerakannya di Parsi maka gerakan ini dipengaruhi kebudayaan dan kepercayaan Parsi.
d. Apabila Mukhtar bin Ubaid al-Thaqafi yang menggunakan nama Muhamad al-Hanafiah dan mendakwa sebagai anak Syaidina Ali dari isterinya yang berasal dari suku Hanafiah dilantik sebagai pemimpin gerakan Syiah pada 64H, perubahan perjuangan Syiah mula berlaku iaitu apabila Mukhtar telah memasukkan pelbagai teori bidaah, fahaman dan penyelewengan dalam ajaran Syiah.
e. Puak Syiah kemudian berpecah kepada 3 aliran utama iaitu Ismailyiah, Imamiyah dan Zaidiya.
3. Aliran Murjiah
a. Murji’ah berasal dari kata irja’ yang bererti tangguh. Ia merupakan aliran yang lebih sederhana dan liberal. Kemunculannya adalah sebagai reaksi daripada kemunculan Khawarij dan Syiah. Mereka mengambil sikap tidak memihak kepada mana-mana sikap ekstrim Khawarij dan Syiah. Oleh itu mereka mengambil sikap berkecuali dalam apa juga pertelingkahan atau perang saudara Islam.
b. Aliran ini dikatakan muncul berikutan peristiwa pembunuhan Khalifah Usman Affan dan perlantikan Ali Bin Abu Talib.
c. Pengasas aliran ini ialah Yunus bin Awn al-Numairi.
d. Pegangan aliran ini ialah menyerahkan segala perbuatan di dunia kepada pengadilan Allah di hari akhirat. Mereka tidak berani menghukum sesuatu tetapi menangguhkannya di akhiat. Bagi mereka iman ialah mengenai Allah dan mengesakannya melalui lidah dan hati. Seseorang itu dianggap mukmin setelah mengenai Allah. Sebarang dosa yang dilakukan tidak akan memberi kesan kepada iman seseorang. Pengadilan bagi orang yang berdosa tidak dilakukan di dunia, sebaliknya akan dilakukan di akhirat kelak.
e. Perkembangan pemikiran akhirnya menyababkan aliran ini berpecah kepada beberapa kumpulan iaitu kumpulan Murjiah Qadariah (kebebasan manusia), Murjiah Jabariah (kekuasaan Allah ke atas manusia) dan golongan Murjiah ketiga tidak menyebelahi mana-mana Qadariah atau Jabariah, sebaliknya mengatakan bahawa iman adalah sesuatu yang unggul dan tetap sebelum manusia melakukan sesuatu.
4. Aliran Muktazillah
a. Pertentangan antara Murjiah Qadariah dan Murjiah Jabariah telah menyebabkan munculnya golongan Muktazillah. Muktazillah bererti orang yang mengasingkan diri iaitu sempenan tindakan pengasasnya (Wasil Bin ’Ata’ yang telah bertindak keluar dari menyetujui pendapat gurunya Hassan al-Basri.
b. Aliran ini wujud pada 120H iaitu pada zaman terakhir pemerintahan Bani Umaiyah.
c. Kaum Muktazillah sering dianggap sebagai golongan rasionalis kerana dasar pemikiran mereka yang lebih mengutamakan akal fikiran dari al-Quran dan Hadis, walaupun terhadap perkara-perkara yang berkaitan hukum dan akidah. Pada mereka apa sahaja yang difikirkan logik dan benar mengikut ukuran akal maka itulah yang benar. Justeru itu mereka tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj serta seksa kubur.
d. Keghairahan penggunaan akal sebagai nas adalah berpunca dari pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani berikutan kemasukan ilmu pengetahuan luar dalam kerajaan Islam.
e. Kemuncak pengaruh aliran ini ialah pada zaman pemerintahan Khalifah al-Makmum, al-Mu’tazim dan al-Wathiq (Kerajaan Bani Abbasiyah) (198-232H), kerana pada tempoh tersebut aktiviti penterjemahan buku-buku falsafah Yunani amat giat dilakukan. Kegiatan ini asalnya untuk tujuan perkembangan ilmu, namun akhirnya telah menpengaruhi pemikiran mereka. Ketiga-tiga orang khalifah tersebut dikatakan antara penyokong kuat aliran Muktazillah ini, bahkan telah dijadikan mazhab negara.
5. Aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah
a. Aliran ini lahir pada abadd ke-3H iaitu sebagai reaksi kepada ajaran Muktazillah yang dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. Ia merupakan aliran pemikiran Islam yang terakhir muncul pada zaman tradisi Islam dan juga merupakan aliran pemikiran paling lengkap.
b. Aliran ini merupakan gabungan antara Ahl al-Ra’y (golongan yang menggunakan akal fikiran yang kebanyakannya berada di Iraq ) dan Ahl al-Hadith (golongan yang banyak menggunakan Hadith yang kebanyakannya berada di Madinah). Bagaimanapun kedua-dua golongan ini lebih banyak menggunakan Hadith dalam menentukan sesuatu hukum.Disebabkan itu mereka digelar Ahl al-Sunnah yang bererti pembela sunnah Rasulullah s.a.w.
c. Usaha membela Sunnah Rasulullah s.a.w. sebenarnya telah dilakukan oleh para sahabat yang kemudian diikuti oleh para pengikut mereka (tabi’in). Antara mereka ialah Abu Hanifah (pelopor ahl al-ra’y) dan Ahmad bin Hanbal (pelopor ahl al-hadith). Ketika itu masih belum disebut Ahl Sunnah wal-al-Jamaah. Tetapi setelah wujudnya pelbagai aliran seperti dinyatakan di atas, maka kumpulan ini dikenali sebagai Ahl al-Sunnah wal al-Jamaah.
d. Antara pemimpin aliran ini seperti Abu Hassan al-Asyaari, Abu Mansur al-Maturidi, Imam al-Ghazali dll.
B) Faktor-faktor kemunculan mazhab-mazhab dalam Islam (2m x 3 isi = 6m)
1. Kefahaman dan tafsiran yang berbeza mengenai ayat-ayat al-Quran.
i. Ia disebabkan oleh perbezaan ilmu pengetahuan, kebolehan dan pengalaman mereka.
ii. Tidak semua umat Islam hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w. dan tidak semua mendengar hadis daripada baginda.
iii. Perbezaan pendapat lebih ketara apabila mereka semakin jauh dengan zaman Rasulullah s.a.w.
2. Pengaruh politik semasa
i. Pada akhir pemerintahan Khalifah Usman bin Affan telah berlaku pergeseran politik antara penyokong Khalifah Usman dengan golongan penentang yang kemudian melantik Khalifah Ali setelah Khalifah Usman terbunuh.
ii. Sewaktu pemerintahan Khalifah Ali telah timbul gerakan-gerakan untuk menuntut bela di atas kematian Khalifah Usman. Sesetengah gerakan tersebut lebih berbau politik dan semangat assabiyah.
iii. Ekoran pergeseran politik inilah lahirnya golongan Khawarij dan Syiah.
3. Pengaruh kebudayaan dan pengaruh asing
i. Pengaruh Yunani, Rom dan Parsi telah melahirkan aliran Murji’ah dan Muktazillah.
ii. Reaksinya telah melahirkan golongan Ahl Sunnah wal-Jamaah.
Penutup
Ketaksuban umat Islam terhadap mazhab-mazhab pegangan mereka telah membawa kepada perbalahan dan perpecahan umat Islam. Ini dibuktikan sewaktu pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah yang telah memerangi mazhab-mazhab yang berbeza pegangannya dengan pihak pemerintah.
No comments:
Post a Comment