Saturday, 5 May 2012

SOALAN PERCUBAAN NEGERI PERAK 2

TAMADUN DUNIA/ISLAM : TEMA 2 –BANDING ASPEK PEMERINTAHAN ATHENS VS MADINAH = STPM 2009 @ PERCUBAAN PERAK 2008


Bandingkan sistem pemerintahan dan pentadbiran antara negara kota Athens di Yunani dengan negara kota Madinah di Tanah Arab (STPM 2009)
______________________________________________
Bandingkan aspek pemerintahan dan pentadbiran negara kota Athens bermula pada tahun 495 S.M dengan negara Kota Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.(PERCUBAAN NEGERI PERAK 2008)

Pengenalan [ 3 markah ]
1. Definisi negara kota.
2. Latar belakang dan lokasi negara kota Athens
· Athens merupakan salah sebuah negara kota yang terkenal di Yunani.
· Muncul antara tahun 800 – 500 S.M.
· Athens berkembang maju hasil daripada sektor perdagangan.
· Mengalami kepesatan dalam pelbagai bidang khususnya bidang politik dan falsafah antara abad ke 5 S.M dan ke 4 S.M.
3. Latar belakang dan lokasi negara kota Madinah
· Nama asalnya ialah Yathrib yang terletak kira-kira 400 km dari Makkah dan 70 km dari Laut Merah.
· Kawasan kota Madinah merupakan kawasan wadi (lembah) seluas kira-kira 32 kilometer persegi dan mempunyai kawasan pertanian yang subur.
· Terletak di tengah-tengah Tanah Arab dan merupakan jalan perdagangan antara Syam ( di bahagian utara ) dan Makkah ( di bahagian selatan ) Tanah Arab.
· Penduduk asal negara kota Madinah ialah kaum Aus, Khazraj, dan kaum pendatang Yahudi.
Isi [ 5 isi X 4 markah = 20 markah ]
Perbandingan pelbagai aspek pemerintahan dan pentadbiran negara kota Athens dan Madinah :
1. Sistem pemerintahan

Athens:
Terkenal sebagai negara kota pertama yang melaksanakan sistem pemerintahan demokrasimelalui tiga buah institusi pemerintahan dalam membuat dasar dan undang-undang.
Madinah:
Sistem pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. bersifat negara Kota dan mengamalkan sistem pemerintahan Islam iaitu agama dan politik tidak dipisahkan. Dalam pentadbiran, baginda melaksanakan konsep musyawarah dalam membuat keputusan.
2. Institusi pemerintahan
Athens:
Mempunyai tiga institusi iaitu Dewan Perhimpunan, Majlis serta Majistret dan Juri.
· Dewan Perhimpunan diwakili oleh semua lelaki dewasa Athens. Tempoh perkhidmatan mereka ialah antara enam bulan hingga setahun. Dewan Perhimpunan bersidang lebih kurang tiga kali sebulan.
· Majlis dibentuk untuk melaksanakan keputusan-keputusan Dewan Perhimpunan. Majlis dianggotai oleh 500 orang ahli yang dipilih melalui undian dan 50 orang mewakili setiap suku.
· Majistret terdiri daripada para pegawai kerajaan. Mereka melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang diputuskan oleh Majlis.
· Juri menjadi pemutus bagi sesuatu kes dan tidak ada peluang bagi tertuduh untuk merayu.

Madinah:
Nabi Muhammad s.a.w telah menubuhkan Majlis Syura yang bertanggungjawab menggubal dasar- dasar pemerintahan negara yang berteraskan Al-Quran dan Hadis. Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengetuai majlis syura tersebut. Masjid telah berperanan sebagai pusat pentadbiran.
3. Ketua Negara
Athens:
Ø Zaman pemerintahan beraja, Raja sebagai pemerintah tertinggi.
Ø Sewaktu zaman pemerintahan golongan bangsawan berkuasa (archon) majlis melantik golongan kaya menganggotai Dewan Perhimpunan untuk mengetuai pemerintahan. Contoh : Solon

Madinah:
Ø Negara Kota Madinah diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemerintah tertinggi yang juga merupakan seorang Nabi lagi Rasul.
Ø Baginda tidak mengamalkan pemerintahan secara autokrasi atau berkuasa mutlak.
4. Pentadbiran undang-undang

Athens:
Ø Dewan Perhimpunan merupakan badan perundangan yang mempunyai kawalan penuh ke atas pentadbiran dan kehakiman.
Ø Ia juga menggubal undang-undang dan dasar negara kota.
Ø Pesalah dihukum berdasarkan undang-undang yang terdapat dalam kanun hukuman Yunani.
Ø Jika kesalahan tidak dinyatakan dalam kanun tersebut, pendakwa raya akan mengemukakan hukuman dan pesalah akan memilih hukumannya sendiri.

Madinah:
Ø Undang-undang negara Kota Madinah berteraskan syariah Islam.
Ø Sumber utama undang-undang Islam ialah al – Quran dan Hadis.
Ø Terdapat perlembagaan yang dikenali sebagai Piagam Madinah digubal dan mengandungi 47 fasal yang berkait dengan orang Islam dan bukan Islam.

5. Pentadbiran Agama dan Kepercayaan

Athens:
Ø Tidak ada priesthood (paderi) atau ketua agama untuk membuat undang-undang agama atau doktrin.
Ø Paderi yang ada hanya semata-mata untuk menjaga kuil, harta dan menjalankan upacara-upacara agama.
Ø Menyembah pelbagai dewa-dewi seperti Tuhan Zeus, Apollo, Athena, dan lain-lain. Tidak mempunyai kitab suci.
Ø Lebih berupa ritual ( upacara ) daripada kepercayaan.
Ø Tidak perlu mengamalkan satu peraturan hidup tertentu , tetapi hanya perlu mengamalkan beberapa sifat suci.



Madinah:
Ø Agama yang diamalkan ialah agama Islam yang diajar melalui Rasulullah s.a.w dan kitab suci Al-Quran sebagai panduan.
Ø Menolak sama sekali kepercayaan kepada banyak tuhan.
Ø Mempercayai Tuhan adalah esa iaitu Allah s.w.t. Segala aktiviti keagamaan berpusatkan di masjid.
6. Pentadbiran sosial

Athens:
Ø Hanya warganegara lelaki dewasa yang terlibat dalam politik, bermesyuarat dan bertindak di Dewan Perhimpunan.
Ø Walaupun Majlis memberi peluang kepada setiap warganegara menganggotainya, rata-rata mereka yang menguasai Dewan Perhimpunan ialah orang kaya yang dikenali sebagai Archon.
Ø Golongan tidak bertanah dan hamba tidak dibenarkan menghadiri Dewan Perhimpunan kecuali semasa pemerintahan Solon, apabila beliau meminda perlembagaan.


Madinah:
Negara kota Madinah memperkenalkan konsep ukhwah dan persamaan taraf menggantikan amalan assabiyah yang telah diamalkan pada zaman jahiliah. Rakyat lelaki dan wanita mempunyai hak bersuara dan memberikan pendapat.
7. Pentadbiran Ekonomi

Athens:
Mengadakan hubungan perdagangan dan perindustrian dengan negara lain . Mengabaikan sektor pertanian kerana bentuk muka bumi yang sempit. Antara barangan yang diimport ialah seperti gandum, ikan, daging, garam, buah-buahan dan bahan mentah. Barang-barang eksport termasuklah minyak zaitun, perak, dan batu marmar.

Madinah:
Ø Dalam negara Kota Madinah, Nabi Muhammad s.a.w mengadakan hubungan perdagangan antarabangsa dengan memperkenalkan sistem muamalat Islam.
Ø Amalan riba dan penipuan diharamkan.
Ø Nabi Muhammad s.a.w menyuruh mencari kekayaan dengan cara yang halal lagi baik dan diredhai Allah s.w.t.
Ø Nabi Muhammad melaksanakan keadilan ekonomi dengan merapatkan jurang kekayaan.
Ø Menebus semula tanah-tanah yang tergadai di tangan orang Yahudi.
8. Pentadbiran Hubungan Luar

Athens:
Ø Hubungan dengan negara kota lain tidak baik.
Ø Sentiasa bersaing antara satu sama lain dan sering berlaku peperangan yang melibatkan soal politik dan sempadan.

Madinah:
Ø Nabi Muhammad s.a.w telah membentuk satu dasar diplomasi dan menjalinkan hubungan yang baik dengan negara luar .
Ø Nabi Muhammad menghantar surat kepada pemerintah-pemerintah Mesir, Habsyah, Yaman dan Rom dengan tujuan pemerintah-pemerintah negara tersebut dapat menerima dakwah Islam.
9. Pentadbiran Ketenteraan.

Athens:
Ø Tentera dibentuk untuk menghadapi peperangan yang dalam skala kecil-kecilan, bersifat tempatan dan untuk menyelesaikan perbalahan politik sempadan.
Ø Athens seperti negara kota Yunani lain mempunyai tentera untuk mempertahankan negara kota mereka daripada serangan musuh dan berusaha agar dapat memberi saingan kepada negara-negara kota lain untuk menjadi negara kota yang paling agung.

Madinah:
Nabi Muhammad s.a.w. sebagai ketua tentera telah membentuk dan mengasaskan sistem ketenteraan Islam yang berlandaskan konsep jihad. Tentera yang berperang tidak bergaji tetap tetapi mendapat ganjaran hasil dari harta ghanimah ( rampasan perang ).
10. Pentadbiran Sistem Kehakiman

Athens:
Ø Kuasa pengadilan terletak di tangan warganegara dalam Dewan Perhimpunan .
Ø Hal-hal kecil diselesaikan dalam mahkamah tempatan tetapi kes besar, jenayah dan sivil akan diselesaikan di mahkamah Athens.
Ø Juri menjadi pemutus bagi sesuatu kes dan pihak yang tertuduh tidak berpeluang untuk merayu.
Ø Pesalah dihukum berdasarkan kanun hukuman Yunani.
Ø Jika kesalahan tidak dinyatakan dalam kanun tersebut, pendakwa raya akan mengemukakan hukuman dan pesalah akan memilih hukumannya sendiri.

Madinah:
Ø Nabi Muhammad s.a.w. menjadi hakim berdasarkan panduan al-Quran dan Hadis.
Ø Terdapat juga hakim yang dilantik di peringkat suku kaum untuk menyelesaikan masalah dalaman kaum tersebut.
Ø Penyelesaian antara kaum akan dirujuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. merangkumi semua aspek dari segi sivil mahupun jenayah.

Kesimpulan [ 2 markah ]
Terdapat perbezaan dalam sistem pemerintahan yang diamalkan antara negara kota Athens dan Madinah di bawah Nabi Muhammad s.a.w. Perbezaan itu jelas dapat dilihat dalam aspek sistem pemerintahan, pentadbiran, perundangan, ekonomi dan sebagainya. Negara kota Athens diperintah hasil pemikiran dan usaha manusia manakala negara kota Madinah diperintah atas konsep tauhid berteraskan al-Quran dan Hadis.
Nota :
· Markah diberikan hanya ada unsur perbandingan.
· Sekiranya pelajar menjawab tentang Athens dan Madinah tanpa ada perbandingan maka tiada markah isi.
· Sekiranya pelajar menyebutkan satu penanda wacana bandingan dalam keseluruhan jawapan markah maksimum bagi isi 8 markah sahaja.
· Calon dikehendaki membuat perbandingan setiap isi.

No comments:

Post a Comment