Saturday, 5 May 2012

SOALAN LATIHAN 3

TAMADUN DUNIA : TEMA 1 –NEGARA KOTA

Takrifkan konsep negara kota dan jelaskan ciri-ciri negara kota dalamTamadun Mesopotamia.
Pengenalan
  1. Tamadun Mesopotamia diasaskan oleh orang Sumeria sekitar tahun 3500 S.M. dilembah Sungai Tigris dan Euphrates. Petempatan-petempatan awal terdiri daripada kampung-kampung kemudiannya berkembang menjadi bandar dan seterusnya muncul sebagai negara kota.
  2. Negara kota muncul sebagai unit politik dan agama yang menguruskan dan mengawal pentadbiran.
  3. Negara kota muncul sebagai satu unit politik dan agama untuk menguruskan dan mengawal kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan terusan.
  4. Antara negara kota yang muncul di Sumeria pada zaman dinasti awal ialah Sippar,Kish,Nippur,Ur,Eridu,Lagash, Uruk,Assur dan Mari.
Isi-Isi Penting (5 isi x 4 M = 20 M)
A. Konsep Negara Kota ( 4M)
  1. Negara kota merupakan tahap awal pembentukan negara. Setiap negara kota terletak di kawasan tertentu dan mempunyai sistem pentadbiran dan undang­undang.
  2. Setiap negara kota juga merupakan kerajaan yang berdaulat dan mempunyai unit politik tersendiri.
  3. Negara kota sering berperang untuk meluaskan wilayah. Penduduk mempunyai kesedaran tentang perjuangan kepentingan bersama dan semangat patriotisme terhadap negara kota masing-masing.
B. Ciri-ciri Negara Kota Mesopotamia
1. Ciri-ciri fizikal (4M)
  • Setiap Negara kota mempunyai ciri-ciri fizikal yang tersendiri.
  • Kawasan utama dalam negara kota ialah pusat kota,tembok kota,luar kota, dan pelabuhan.
  • Di dalam negara kota terdapat istana, rumah kediaman, rumah ibadat, kedai dan pasar. Di luar kota pula terdapat kawasan pertanian dan penternakan.
  • Negara kota juga mempunyai kubu pertahanan dan pintu gerbang yang menjadi lambang kekayaan sesebuah kota.
  • Pelabuhan memainkan peranan penting sebagai pusat perdagangan yang mempunyai kemudahan seperti tempat penginapan, setor dan tempat berjual-beli.
  • Negara-negara kota juga mempunyai jalan-jalan yang lebar dan lurus serta mempunyai ukuran yang standard.
  • Tembok-tembok didirikan untuk mempertahankan negara daripada serangan musuh.
  • Negara-negara kota mempunyai keluasan yang berbeza.
2. Ciri-ciri politik dan pentadbiran (4M)
Raja
  • Setiap negara kota ditadbir oleh raja yang mempunyai kuasa mutlak. Raja dianggap wakil rakyat yang dipilih oleh tuhan untuk menjalankan pentadbiran Negara kota.
  • Raja memainkan peranan sebagai panglima tentera, ketua hakim dan ketua pendeta.
  • Dalam menjalankan pentadbiran, raja dibantu oleh ketua pendeta, pesuruhjaya,
    ketua penyelia, penyelia, jurutulis dan pekerja.
  • Dalam bidang keagamaan, raja memainkan peranan dalam pembinaan dan pengurusan rumah berhala, perlantikan pendeta dan menjalankan perayaan keagamaan.
  • Dalam bidang ketenteraan, raja berperanan merangka kempen ketenteraan dan mengetuai pasukan tentera dalam medan peperangan.
  • Sebagai ketua hakim, raja harus memastikan semua lapisan masyarakat mendapat keadilan dan layanan yang sewajarnya.
Dewa Negara Kota
  • Negara kota terletak di bawah naungan dewa negara kota yang dikenali sebagai citygods.
  • Negara kota Lagash dinaungi oleh Dewa Ningirsu manakala negara kota Ur dinaungi Dewa Nanna.
Ketua Pendeta
  • Dibantu oleh pesuruhjaya
Pesuruhjaya
  • Dikenali sebagai agrig, dibantu oleh penyelia yang mengawasi pegawai bawahan.
Penyelia dan jurutulis
  • Mengawasi golongan pekerja dan buruh yang bertugas di bawah mereka.
Buruh dan Pekerja
  • Dibahagikan kepada badan-badan awam yang berlainan dan mempunyai organisasi yang tersendiri.
3. Ciri-ciri sosial (4M)
  • Dari segi struktur sosial,masyarakat di negara kota Mesopotamia dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu golongan atasan, golongan pertengahan dan golongan bawahan.
  • Golongan atasan terdiri daripada raja dan golongan bangsawan. Raja mempunyai kuasa tertinggi dan menduduki tangga teratas dalam struktur sosial masyarakat. Berperanan sebagai wakil dewa negara kota yang mentadbir negara dengan adil dan saksama. Golongan bangsawan terdiri daripada panglima tentera, ketua pendeta, pembawa alatkebesaran diraja, penguasa istana dan gabenor provinsi.
  • Golongan kelas menengah terdiri daripada golongan profesional seperti pengusaha bank,pedagang, doktor, jurutulis dan artisan. Mereka memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi, mempunyai kesatuan sekerja bagi menjaga kebajikan mereka.
  • Golongan bawahan terdiri daripada rakyat biasa dan hamba. Dikenali sebagai Hupshi. Golongan yang paling rendah kedudukannya dalam organisasi sosial Mesopotamia ialah hamba yang terdiri daripada tawanan perang dan orang berhutang.
4. Ciri-ciri ekonomi ( 4M)
  • Kegiatan ekonomi negara kota terdiri daripada pertanian, perdagangan dan perindustrian.
  • Pertanian merupakan kegiatan ekonomi utama negara kota Mesopotamia.
  • Tanah pertanian dimiliki oleh raja , golongan bangsawan dan pegawai tentera.
  • Ladang besar dimiliki oleh rumah berhala dan diusahakan oleh kakitangan rumah berhala.
  • Tanah pertanian dibahagikan kepada tiga kategori iaitu tanah milik tuan tanah yang diusahakan penduduk negara kota. Tanah makanan iaitu hasil tanah diagihkan oleh kakitangan rumah berhala. Tanah sewa iaitu hasil sewa digunakan oleh kakitanganrumah berhala atau diagihkan kepada rakyat.
  • Perdagangan juga kegiatan ekonomi yang penting dan mewujudkan hubungan perdagangan antara negara kota dengan negara kota lain.
  • Kegiatan perdagangan bulu dan kulit binatang merupakan sumber ekonomi penting.
  • Perindustrian. Industri tekstil dikendalikan oleh rumah-rumah berhala dan istana.
Kesimpulan
  • Negara kota Mesopotamia mempunyai ciri-ciri fizikal, sosial ,politik dan ekonomi.Kemunculan negara kota melambangkan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Mesopotamia dalam bidang politik, sosial dan ekonomi .
  • Negara kota menjadi asas kepada kelahiran empayar di Mesopotamia sekitar tahun 2350 S.M.

No comments:

Post a Comment